Al-kisahnya, Ijah mula sakit gigi disebabkan geraham bongsu yang mula tumbuh pada tahun 2018. Pada masa itu, Doktor Gigi dah rekomen pembedahan minor sebab kata beliau ruang gusi yang masih ada tak muat untuk si geraham bongsu naik. Tapi takut punya pasal campur degil, Ijah buat keputusan untuk makan ubat tahan sakit dan antibiotik sahaja. Satu kesilapan besar yang Ijah kesali sehingga kini 😔
Akhirnya, tiga bulan lepas Ijah kembali sakit gigi tahap tak mampu nak tahan dah. Ijah kembali jumpa Doktor Gigi, dan dinasihatkan sekali lagi untuk buat pembedahan minor geraham bongsu. Okeylah.. Kali ini pasrah untuk pembedahan. Tapi, bila dengar jumlah kos pembedahan boleh mencecah RM1500, aduii.. tunda lagi sekali. Cuba bertahan dengan ubat lagi memandangkan pada masa itu bulan puasa.
Untuk makluman, klinik gigi yang Ijah pergi ni adalah klinik panel. Untuk rawatan biasa Ijah tak perlu bayar, tapi untuk rawatan tambahan perlu gunakan duit sendiri. Jadi demi menjimatkan wang di musim pandemik ini, Ijah cuba cari klinik gigi kerajaan terdekat untuk temujanji.
Berjaya dapat slot temu janji.. 2 bulan jugalah kena menanti
Punyalah lega bila dah dapat temujanji kan. Ijah pujuk hati untuk bertahan sehingga awal Julai. Tapi disangka panas hingga ke petang, hujan pula di tengah hari. Ijah mendapat makluman klinik gigi kerajaan yang ditempah ditutup operasi apabila lockdown diumumkan. Punyalah susah hati. Sampai bila nak terus makan ubat tahan sakit setiap hari 😭😭
Suami memujuk untuk serah diri ke klinik swasta, dan Ijah redha. Pasti ada hikmah terbaik di sebalik apa yang terjadi ini. Kata suami duit boleh cari, tapi sakit tu bimbang boleh membawa kepada keburukan lain di kemudian hari.
Maka, bermulalah misi mencari klinik swasta berdekatan dengan kos pembedahan geraham bongsu (minor oral surgical) yang mampu kami bayar. Alhamdulillah, ketemu jua klinik swasta yang menawarkan kos pembedahan maksimum RM1000.
Pada hari temu janji, Doktor Gigi mengesahkan punca sakit gigi Ijah berpunca daripada geraham bongsu bawah terimpak yang tumbuh senget. Berita sedihnya, gigi geraham atas dah rosak akibat Ijah simpan si geraham bongsu terimpak tu lama sangat. Gigi geraham bongsu terimpak jadi tempat berkumpul bakteria akibat sisa makanan yang terperangkap di situ. Tapi berita baiknya gigi geraham di sebelah gigi geraham bongsu terimpak masih dapat diselamatkan. Tak nak tangguh lama dah, Ijah setuju gigi geraham atas dan gigi geraham bongsu terimpak dibuang segera.
Doktor Gigi klinik ni sangat berpengalaman tau. Ijah punyalah gelabah sebab kali terakhir cabut gigi zaman sekolah rendah kot 😂 Tapi dengan satu suntikan bius, tak sampai dua minit gigi geraham atas dah selamat dicabut. Minor oral surgical (MOS) pun sekejap sahaja. Lebih kurang 15 minit, gigi geraham bongsu terimpak dah selamat dikeluarkan dengan tiga suntikan bius dan dua jahitan pada gusi. Kedua-dua rawatan ini Ijah buat pada hari berlainan sebab rasa hati tak cukup kuat nak buat serentak pada hari sama 😅
Kos keseluruhan rawatan RM950
Crown geraham bongsu terimpak dah pecah. Kata Doktor Gigi, nasib baik Ijah cepat buat rawatan sebab jika lambat kesannya boleh buat pipi bengkak dan masalah kesihatan lain. Ijah dalam hati..patutlah sebelum ni tiap kali sakit "dia" menyerang sakitnya menyengat sehingga ke belakang kepala. Fuhh, lega sangat dah buang!
Walaupun kepala lutut rasa longgar dan tangan gigil selepas keluar bilik rawatan, Ijah syukur sangat sebab derita sakit gigi yang ditanggung sekian lamanya sudah tiada. Cuma perlu jaga makan minum untuk tempoh seminggu supaya gusi kembali sihat dan luka tertutup. Alhamdulillah, Ijah takde rasa sakit semasa dan selepas jalani rawatan cabut gigi serta pembedahan. Cuma pipi bengkak beberapa hari dan Ijah tuam dengan ais dan KoolFever. Sesekali cuba letak ais pada gusi, tapi tak tahan sejuk dan gigi sensitif.
Dalam tempoh seminggu jangan makan dan minum benda bersifat panas dan pedas. Banyakkan menu bersifat sejuk untuk cepat surutkan bengkak gusi seperti aiskrim, milkshake dsb. Elakkan guna straw ye, minum guna cawan sahaja. Hari pertama dan kedua selepas cabutan/pembedahan digalakkan makan yang lembut seperti bubur, puding dsb. (bergantung pada tahap kecederaan gusi).
Sekarang Ijah sedang menghitung hari untuk Doktor Gigi buka benang dan tengok keadaan gusi. Harap-harapnya gusi ni cepat sihat. Tak selesa oi nak makan bila ada benang dalam mulut. Tak sabar juga nak makan sedap-sedap seperti hari-hari biasa 😁
Jadi begitulah kisahnya. Korang kalau ada masalah sakit gigi, Ijah sarankan segeralah buat temujanji di mana-mana klinik gigi. Kalau Doktor Gigi nasihatkan untuk cabut atau bedah buang gigi bermasalah, turutkan sahaja kerana mereka lebih pakar berkenaan gigi berbanding diri kita.
Tak perlu takut-takut macam Ijah okey.. Jadilah berani untuk kesihatan gigi dan diri anda!
Comments
Post a Comment