Cikgu adalah insan yang paling dekat dalam hidup aku. Kenapa cikgu? Sejak usia hampir meniti ke angka 30, aku seringkali memikirkan pencapaian aku di masa lalu. Dalam hidup aku, cikgu adalah entiti yang paling banyak mempengaruhi siapa aku sekarang.
Ibu dan ayah tidak ada pendidikan formal. Seperti abang dan kakak yang lain, aku juga tidak dihantar ke tadika sedangkan pada era itu sudah wujud tabika kemas di kampungku. Apabila didaftarkan ke darjah 1, aku tersenarai di kelas ketiga, kelas 1C. Aku tidak pasti apa yang membuatkan aku sangat kasih kepada Cikgu Hayati yang mengajarku sewaktu di darjah 1. Yang paling aku ingat adalah beliau membawa kami sekelas belajar di taman. Di situ, beliau meminta murid yang belum kenal huruf mengangkat tangan dan mengambil kad huruf yang disediakan. Tetapi entah apa silapku pada waktu itu aku dimarahinya. Aku lupa apa sebenarnya yang telah berlaku, tetapi Cikgu Hayati adalah cikgu yang paling aku kasih sehingga tamat sekolah rendah.
Guru Bahasa Inggeris aku sudah lupa namanya. Sangkaku beliau seorang lelaki Cina, tetapi rupanya keturunan Siam. Inilah satu-satunya guru Siam yang pernah aku kenal. Tetapi beliau tetap aku geruni. Rotan panjang sentiasa ada dan dibawa ke kelas. Kalau gagal menjawab soalan memang alamatnya tadahlah tangan. Ada lagi seorang guru perempuan, tetapi tidak kuingat juga namanya. Sangat baik tetapi tegas. Dua orang guru Bahasa Inggeris ini banyak membantu aku memperbaiki kelemahan.
Cikgu Matematik pula kami panggil cikgu Triple Z. Aku lupa kenapa beliau digelar sedemikian. Namanya Cikgu Zarina. Garang dan tegas juga. Sifir wajib hafal kalau tak mahu dimarahi atau didenda. Memang gigih aku menghafal sifir siang, malam sebab tak suka kena marah. Ibu dan ayah jarang sekali memarahi aku, jadi hati tisulah aku ni kalau kena marah dengan cikgu! Alhamdulillah, sekali lagi disebabkan cikgu aku mampu membuat kira-kira dengan baik walau hati seringkali berdebar bila dipanggil untuk menulis jawapan di papan hitam.
Ustazah, aku sudah lupa apa namanya. Lemah lembut dan baik orangnya. Marah takde pun jerit-jerit. Tapi sebab malu dan tak mahu ketinggalan ilmu agama dengan kawan-kawan, aku usaha menghafal surah lazim, belajar jawi, baca Quran besar. Untuk subjek Pendidikan Islam, aku kategori slow learner. Sedih tengok kawan senang je menghafal. Ujian Fardhu Ain pun result tak cantik. Tapi aku tetap berterima kasih kepada ustazah, sekurang-kurangnya aku dapat belajar untuk solat dan mengaji.
Last but not least, cikgu Bahasa Melayu aku yang agak terkenal orangnya. Mungkin sebab kategori cikgu hensem di sekolah. Hihi. Cikgu Ibrahim namanya. Muka manis dengan tahi lalat di tepi mulut, tapi sayangnya garang dan tegas juga. Kalau beliau masuk ke kelas, bersiap sedialah satu ayat untuk karangan dalam kepala kalau tak mahu berdiri dan disergah. Tapi jasa beliau sangat besar untuk aku.
Kenapa?
Selepas habis menduduki UPSR aku ngelat ponteng sekolah, konon dah habis belajar dan pergi sekolah pun asyik dok main dengan kawan-kawan je. Memandangkan zaman 90an ni kartun Sailor Moon sangat menggoda hati kanak-kanak seperti aku, ditayangkan pula pada pagi Ahad, memang bergembiralah nak ponteng sekolah. Tapi tengah syok nak berjoli hora horey dapat panggilan daripada Cikgu Ibrahim. Beliau tanya ada di mana, kenapa tak datang sekolah. Huii jenuh fikir alasan apa nak bagi. Boleh pula aku jawab "Hah mak saya suruh jaga anak sedara ni cikgu". Haha agak-agak beliau percaya ke? Minta maaf ye cikgu atas pembohongan di kala usia itu.
Tapi Cikgu Ibrahim mendesak suruh aku datang sekolah pada masa tu juga. Yang lawaknya beliau siap bagi pesanan "eh awak pergi cari Athirah, suruh dia datang juga." Lorr, my bff pun ponteng juga rupanya. Yang lagi dahsyat, dua-duanya pengawas sekolah. Haru ke tak haru? Haha. Dengan muka tebal kami pun ke sekolah. Sesampai sahaja kami terus diminta pergi ke perpustakaan. Dalam perpustakaan, ada ramai pelajar yang sedang menunggu ketibaan kami. VVIP gitu.
Rupa-rupanya pihak sekolah kumpulkan pelajar yang berpotensi dapat 5A dalam UPSR untuk mengisi borang permohonan kemasukan ke asrama penuh. Asbab desakan Cikgu Ibrahim inilah aku dan bff berjaya mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh. Besar kan jasa beliau?
Tiap kali balik dari asrama, aku perlu melintas di hadapan kelas tuisyen Cikgu Ibrahim. Tetapi malu punya pasal aku akan cepat-cepat jalan supaya tak terserempak. Pernah sekali beliau ternampak aku, tapi aku cepat-cepat lari. Entah kenapa malu sangat. Kui, kui.
Inilah pengalaman aku dengan cikgu-cikgu kesayangan di sekolah rendah. Walau cikgu tegas dan garang, tetapi mereka berjaya menghantar aku ke sekolah berasrama penuh dan meraih 5A dalam UPSR.
Owh untuk subjek Sains ada seorang lagi guru yang mengajar aku, tetapi beliau bukan guru di sekolahku. Guru ini adalah abang iparku, Cikgu Azli. Subjek Sains agak sukar untuk aku fahami, tetapi beliau sedikit sebanyak membantu apabila perlu.
Terima kasih kepada semua cikgu! Moga Allah membalas budi dan ilmu yang telah dicurahkan.
Comments
Post a Comment