CC by https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Pink_ribbon.svg
Assalamualaikum..Salam Ramadhan..Alhamdulillah, sudah hampir seminggu kita diberikan nikmat untuk berpuasa pada tahun ini..Dah lama juga saya tak berpeluang untuk menulis di blog ini..sibuk kejar urusan kerja & macam2 perkara tak diduga berlaku dalam tempoh sebulan ini.
Logo gambar di atas semua kenal kan? KANSER..bukan perkara baru pun. Selalu sangat kita dengar di kaca TV dan sesama rakan-rakan. Kawan pernah bercerita ibunya menghidap kanser payudara, sebelum tu sepupu saya pun disahkan menghidap kenser yang sama dan isu dia enggan berjumpa dengan sanak saudara sering diperbualkan oleh kakak-kakak saya. Namun, kisah-kisah ini saya tidak nafikan hanya sekadar masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Ya, itulah hakikat diri kita apabila kisah-kisah ini hanya berlaku pada orang sekeliling yang kurang rapat/kurang kita kenal. Konon ambil kisah tetapi hakikatnya..wallahualam.
Tetapi baru-baru ini saya dikhabarkan salah seorang kakak (kakak P) mahu menjalankan pembedahan. Pembedahan apa? Rupa-rupanya dalam tempoh dua bulan sebelum itu dia telah mendapat pengesahan menghidapi kanser payudara. Allahuakbar..apabila berlakunya musibah pada saudara terdekat barulah hati ini mula rasa terkesan. Kakak yang menyampaikan berita (kakak R) setiap hari murung memikirkan nasib anak-anak kakak P. Saya hanya mampu mendengar kerana selama ini itulah peranan saya sebagai adik.
Al-kisahnya, kakak P mula dikesan menghidap kanser payudara setelah dia disahkan mengandung. Ceritanya, di klinik yang dia kunjungi..ketiga-tiga ibu mengandung (termasuk dia) adalah penghidap kanser payudara dan mula dikesan apabila mereka mengandung. Ketiga-tiga mereka juga telah dirujuk untuk menjalani pembedahan segera bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini. Tetapi dalam tempoh dua bulan itu jugalah kakak P telah menyembunyikan hakikat tersebut. Ceritanya pada hari pertama disahkan menghidap kanser dia hanya mampu mengurung diri di dalam bilik dan menangis, suami sendiri pun dia tidak mahu berkongsi cerita, apatah lagi dengan adik-beradik. Pada waktu itu, di fikirannya hanya ada perkataan "MATI".
Disebabkan itulah kami sekeluarga hanya tahu perihal sebenar pada hari dia dimasukkan ke hospital untuk bersedia menjalani pembedahan dengan kandungan usia 5 bulan. Kanser yang dihidapi oleh kakak P adalah jenis invasive, cepat dan mampu merebak ke bahagian anggota badan yang lain. Pada peringkat awal dikesan, doktor mengatakan kakak P hanya akan disedut tisu payudaranya untuk dibuang sel kanser. Namun, disebabkan nama kansernya pun invasive, dalam masa tidak sampai dua bulan kanser tersebut telah merebak hingga menyebabkan doktor terpaksa membuang sepenuhnya payudara sebelah kanan yang telah dijangkiti.
Kami datang melawat pada hari kakak P usai menjalani pembedahan. Kakak R baru sahaja duduk tak sampai seminit dah bangun sembunyi belakang tirai kerana menangis. Saya? Hmm..bukannya tak terkesan dan mahu berlagak kuat. Tetapi demi memberi kekuatan kepada kakak P, saya beritahu pada diri sendiri supaya mengawal emosi dan jangan sesekali menangis. Hanya dengan begitu kakak P akan lebih berlapang dada. Pada hemat fikiran sayalah. Jadi, kami berbual setakat yang kakak P mampu kerana dia pun masih kelihatan lemah dan tangan dia juga perlu buat senaman genggaman disebabkan ada urat di bawah ketiak yang telah dipotong dan menjejaskan pergerakan tangan (mohon maaf para doktor kalau ada tersalah guna istilah).
Ketika berada di wad kakak P barulah saya menyedari hakikat ramainya wanita yang menghidap penyakit kanser..belum tambah dengan cerita kakak P tentang pesakit-pesakit yang telah dia jumpa. Dan adakah kita akan terselamat dari penyakit ini? Walahualam..hidup mati semuanya dalam perancangan Allah.. dan hakikat penyebab untuk kita mati bukan hanya disebabkan kanser..ada banyak penyakit lain dalam dunia ini..jadi bertabahlah wanita-wanita yang diduga Allah. Kemungkinan ini ujian Allah untuk mengangkat darjatmu di akhirat kelak.
Hakikatnya kakak P merupakan seorang yang positif dan kuat. Pelbagai perkara terpaksa difikirkannya..suami tidak punya pekerjaan yang tetap, kebanyakan hal rumah tangga diurus oleh kakak P, hal pelajaran anak-anak juga, anak dalam kandungan lagi..sehingga satu tahap kakak P telahpun pergi ke Majlis Amanah untuk melakukan wasiat..dan kini dia telahpun redha seandainya dia akan pergi menghadap Ilahi pada usia awal 40an. Katanya musibah ini sedikit sebanyak telah mengubah hidupnya..dia dan suami kini semakin dekat pada Allah. Sebelum Subuh merka telah bangun sembahyang sunat dan jemaah bersama. Kadang-kadang itulah manisnya dari kepahitan satu ujian.
Anak-anak kakak P? Sepanjang di hospital anak sulungnya yang berusia 15 tahun setia menemani. Dia bercerita ibunya sekarang sudah jadi pendiam, ayahnya pula yang banyak membebel dan bising menguruskan hal mereka. Bila dia melihat kakak R menangis tanpa henti, saya sedar anak muda ini belum memahami tahap kanser ibunya antara hidup dan mati, kerana air mukanya jelas kosong. Namun kami biarkan tanpa dia memahami supaya tidak mengganggu emosinya pula. Hanya kata-kata motivasi dan pesanan kami tinggalkan supaya dia membantu ibunya agar kekal kuat dan jangan biarkan ibunya bersedih.
Malam setelah pulang melawat kakak P, saya tunggu kepulangan suami untuk bercerita..kerana dialah tempat saya mengadu selama ini. Di hadapan suami jugalah saya menghamburkan air mata yang telah disimpan sekian lama. Sedih dan bingung memikirkan masa depan kakak P sekeluarga. Seperti biasa suami hanya mendengar, tetapi itu sudah mencukupi.
Pada pertemuan seterusnya, kakak P saya lihat semakin kuat. Tetapi hakikat sebenar dia luahkan juga sedikit pada saya. Katanya apabila orang tanya sakit ke tak, dia akan jawab tidak..tetapi yang sebenar hanya kita yang tahu dan biarlah kita sahaja yang tahu. Walaupun kata-katanya penuh maksud tersirat tetapi akal saya masih memahami apa yang dia ingin sampaikan. Pada hari itu juga dia telah menunjukkan payudara yang telah tiada. Dia hanya gelak dan tersenyum. Saya juga membalas walaupun pahit. Kakak P juga pernah bertanya sama ada saya ada mengambil pil perancang kehamilan. Katanya gunakan saja cara semulajadi selagi mampu, antara faktor penyebab dia menghidap kanser adalah disebabkan dia pengguna tegar pil perancang dan implan kehamilan. Saya iakan sahaja dan kebetulan saya memang pengamal semulajadi. Mungkin kerana saya dilahirkan pada era yang berbeza dengan kakak P menyebabkan saya lebih tahu tentang isu pil perancang kehamilan/implan.
Namun, hakikatnya sakit itu adalah teguran daripada Allah. Mudah-mudahan kami sekeluarga dapat terus memberikan sokongan dan semangat kepada kakak P agar terus kuat dan tabah menghadapi dugaan..dan sakit ini juga teguran buat kami agar tidak sesekali leka dari mengingat yang Esa. Wallahualam..sekian coretan.
Comments
Post a Comment